Friday, March 16, 2007

Semua remaja perempuan bermasalah pernah laku seks

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Sungguh mengejutkan apabila kajian seorang akademik tempatan mendapati kesemua 887 pelajar perempuan yang dikategorikan sebagai “berisiko tinggi” yang menuntut di sekolah menengah di sebuah negeri kecuali seorang, mengaku pernah melakukan hubungan seks.

Penemuan yang amat membimbangkan itu menunjukkan kemerosotan mendadak nilai moral remaja perempuan di negara ini dibuat oleh Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dr. Khaidzir Ismail melalui “Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi terhadap kalangan remaja perempuan berisiko tinggi atau bermasalah”.

Mereka yang berisiko tinggi itu terdiri daripada pelajar perempuan yang mempunyai masalah disiplin seperti kerap ponteng sekolah, melawan cakap guru dan sering melakukan salah laku lain serta berlatarbelakangkan keluarga yang bermasalah.

Melalui kajian selama tiga bulan yang berakhir Disember 2006 itu membabitkan pelajar menengah terdiri daripada tingkatan satu hingga lima, sebanyak 20 orang pelajar berisiko tinggi daripada setiap sekolah dipilih kaunselor sekolah masing-masing sebagai responden.

“Sungguh menyedihkan dan mengejutkan kerana daripada kesemua responden yang ditemu bual itu hanya seorang mengaku tidak pernah melakukan hubungan seks.

“Ini keputusan yang amat memeritkan namun ianya adalah satu realiti yang harus kita terima,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di Jabatan Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian UKM Bangi dekat sini hari ini.

Difahamkan kajian terhadap pelajar perempuan berisiko tinggi itu dilakukan berdasarkan inisiatif kerajaan negeri berkenaan yang menyedari mengenai kemerosotan moral golongan remaja di negeri itu berdasarkan kepada pendedahan yang sering dibuat media.

Hasil penemuan daripada kajian itu diharapkan dapat membantu kerajaan negeri untuk merangka modul latihan khas yang terancang dan teliti yang sesuai diterapkan kepada golongan itu.

Khaidzir berkata, kajian itu juga mendapati pelajar perempuan yang berumur lingkungan 15 dan 16 tahun adalah paling berisiko untuk terjerumus dalam pelbagai masalah disiplin termasuk cuba melakukan hubungan seks buat pertama kali.

Katanya, kajian itu juga mendapati kebanyakan pelajar perempuan itu berasal daripada keluarga bermasalah seperti ibu bapa masing-masing yang mempunyai masalah psikologi, bercerai, mengalami masalah kewangan dan kebanyakannya tinggal di rumah kos rendah.

“Kajian juga menunjukkan bahawa masalah itu bukan berasal daripada pelajar itu sahaja tetapi juga disebabkan pengaruh masalah rumah tangga yang dihadapi oleh ibu bapa mereka akibat tekanan hidup dan masalah lain,” katanya.

Beliau berkata, selain terbabit dalam hubungan seks, kajian juga mendapati 98 peratus daripada mereka mengaku mengambil dadah, terlibat dalam kongsi gelap (98 peratus), bahan lucah (97.3 peratus), berjudi (96.8 peratus), vandalisme (85.4 peratus) dan ponteng sekolah (77.2 peratus).

Khaidzir berkata, hasil kajian itu adalah satu petunjuk bahawa generasi kini berhadapan dengan masalah sosial yang kritikal.

“Walaupun hasil kajian ini agak mengejutkan, namun semua pihak perlu sedar tentang peranan mereka untuk membantu pelajar terbabit, bukannya menunding jari dan menghukum tanpa memberi jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Katanya, kebanyakan pelajar itu mempunyai kekurangan daripada aspek kemahiran akademik, komunikasi, memiliki kendiri yang rendah, kawalan diri yang rendah dan kemahiran penyelesaian masalah yang rendah.

Pendapat Menteri.

Jangan hukum semua gadis – Shahrizat
KUALA LUMPUR 1 Mac – ‘‘Jangan hukum seluruh generasi muda hanya kerana perlakuan 886 gadis,’’ demikian luahan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Sebaliknya kata beliau, ramai lagi golongan remaja perempuan yang baik, rajin, menghormati orang tua dan tidak tinggal sembahyang.

‘‘Kenapa kita tidak bercakap mengenai mereka? Kenapa kita hanya menumpu kepada isu-isu kecil sahaja.

‘‘Saya tahu bahawa masalah ini wujud tetapi kita perlu melihatnya secara positif, lihat bagaimana kita boleh membantu mereka.

‘‘Jangan jadikan hasil kajian ini untuk menghukum mereka. ‘‘Henti menghukum generasi muda,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran media Festival Sastera Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau meluahkan kekecewaan itu apabila ditanya mengenai kajian yang mendapati hampir kesemua 887 pelajar perempuan sekolah menengah yang dikategorikan sebagai ‘berisiko tinggi’, kecuali seorang, mengaku pernah melakukan hubungan seks.

Menurut beliau, kajian Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khaidzir Ismail itu tidak adil kerana hanya melihat kepada masalah itu secara negatif.

Kajian Khaidzir itu melibatkan pelajar perempuan yang mempunyai masalah disiplin seperti kerap ponteng sekolah, melawan cakap guru, sering melakukan salah laku lain dan datang daripada keluarga bermasalah.

Kajian tiga bulan itu yang berakhir Disember 2006 di sebuah negeri membabitkan pelajar sekolah menengah, iaitu sebanyak 20 pelajar berisiko tinggi daripada setiap sekolah.

Shahrizat yang pada mulanya enggan memberikan sebarang kenyataan berkata bahawa adalah menyedihkan bagi Malaysia yang memiliki masyarakat yang berhemah tinggi dan nilai-nilai terpuji memilih untuk menumpu kepada masalah kecil ini.

‘‘Kita ambil maklum bahawa ia satu perkara yang membimbangkan tetapi janganlah jatuhkan hukuman kepada seluruh generasi muda.

‘‘Mereka memerlukan bimbingan dan kasih sayang.

‘‘Perkara sebegini akan hanya merendahkan keyakinan dan harga diri mereka,’’ ujarnya.

Beliau turut menegur golongan tua yang gemar mengkritik dan bersuara mengenai perlakuan generasi muda.

Dalam hal ini juga, katanya, pendidikan seks memainkan peranan penting kepada perlakuan golongan muda kerana ramai daripada mereka tidak mengetahui risiko dan bahaya perlakuan seks bebas.


Pendapat umum.

Bangunkan semula sistem kekeluargaan kita
Pendapat
KAJIAN Dr. Khaidzir Ismail, Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati 886 dari 887 pelajar perempuan kategori ‘berisiko tinggi’ yang ditemu bual di sekolah menengah sebuah negeri mengaku pernah melakukan seks bebas, adalah amat memeranjatkan, memalukan serta membimbangkan kita semua.

Antara punca kemerosotan akhlak ini yang dikenal pasti penyumbang terbesarnya adalah keluarga bermasalah seperti ibu bapa bercerai, masalah psikologi, tekanan perasaan, kewangan dan kebanyakannya berasal daripada keluarga miskin.

Di sini saya ingin mengajak pembaca menilai kembali kesilapan yang sering kita lakukan sehingga menyumbang kepada permasalahan ini. Pertamanya peranan ibu bapa yang tidak meletakkan perkembangan sahsiah insan dan jati diri anak sebagai keutamaan lagi. Anak-anak menjadi terbiar membangun modal insan sendiri mengikut cita rasa dan acuan sendiri dan ibu bapa tak peduli.

Keduanya peranan guru-guru yang sudah tidak meletakkan pendidikan modal insan secara berpakej lengkap dengan pembangunan moral sekali sebagai matlamat utama pendidikan di sekolah sebaliknya mengutamakan kecemerlangan akademik demi mengejar straight A’s semata-mata. Begitu juga peranan PIBG yang lebih mementingkan kecemerlangan akademik dengan meletakkan agenda mengejar ‘A’ juga matlamat utama.

Akhirnya fokus pendidikan di sekolah hanya tertumpu kepada pelajar terbaik harapan atau kelas-kelas elit sahaja dalam masa yang sama pelajar yang tidak cemerlang akan hanyut tanpa cita-cita dan pedoman serta panduan daripada guru-guru. Anak-anak tiri ini akan hilang fokus pada pelajaran dan motivasi membangun insan di sekolah kerana guru sering tidak mengajar atau mengajar sambil lewa kerana mereka bukanlah aset penting kepada sekolah lagi.

Jika ada peluang kursus motivasi atau bengkel kecemerlangan, pelajar-pelajar ini sering tersisih. Hasilnya separuh daripada mereka akan suka ponteng sekolah dan menumpukan minat mereka pada aktiviti liar di luar sekolah dengan menipu ibu bapa keluar rumah dengan pakaian seragam sebaliknya menukar baju di kompleks-kompleks perniagaan dan seterusnya berseronok dengan rakan-rakan.

Kepincangan pendekatan kita mengurus anak-anak remaja adalah kunci kepada kemerosotan mendadak nilai moral mereka. Peruntukan masa di rumah dan masa di sekolah tidak digunakan sebaik mungkin membentuk sahsiah terbaik mereka. Matlamat kita membesarkan anak-anak sudah mula terpesong jauh dan saya amat yakin kebejatan nilai moral remaja pada hari ini khususnya yang terjebak dengan ‘mat rempit’ dan ‘bohsia’ berpunca dari kesilapan acuan pembentukan sahsiah tersebut.

Melalui temu bual saya dengan beberapa orang anak-anak muda berumur 15 hingga 17 tahun yang gemar merempit di kawasan ini, ternyata mereka amat terbuka berbicara topik melakukan seks bebas dengan mana-mana gadis yang mereka berkenan. Malah mereka bebas bertukar-tukar pasangan dan kebiasaannya mereka tidak pernah gagal memujuk pasangan melakukan seks tanpa rasa bersalah atau takut jika diketahui ibu bapa atau penjaga mereka.

Keterbukaan yang dipamerkan oleh remaja ini amat memeranjatkan saya malah mereka mampu menyenaraikan mana-mana satu bohsia dalam kelompok mereka yang hebat dan yang mana teruk.

Nyata dan jelas kajian serta statistik yang menggemparkan berkaitan keruntuhan moral anak muda kita pada hari ini sudah sampai ke tahap kronik dan amat membimbangkan.

Gejala dadah dan membuang bayi adalah antara implikasi yang terhasil dari masalah sosial ini, dan yang paling membimbangkan adalah peratusan tinggi anak-anak muda generasi pelapis Melayu yang bakal rosak menjadi sampah dalam masyarakat dan membebankan kerajaan bagi mengurus dan memulihkan mereka semua.

Pembangunan modal insan akan gagal, Agenda Melayu akan gagal dan akhirnya pembentukan sebuah bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang juga akan terbantut.

Melentur buluh sedari rebung adalah pendekatan terbaik. Kaji dan bangunkan semula sistem keluarga dan pendidikan di sekolah yang semakin pincang pada hari ini.

Bro Rick Says....
Memang memeranjatkan sebenarnya kalau fakta ini benar, rick sendiri pun merasa takut jikalau adik rick juga terlibat sama, kita sebagai ibu bapa, abang atau kakak sebanarnya harus memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian mereka.

Didikan agama adalah yang paling penting sekali, mereka harus memahami mana yang baik dan buruk dalam menjalani hidup yg penuh dgn panca roba ini..

No comments: