Thursday, March 22, 2007

Jawab, jangan tak jawab!: 'Berilah saya peluang kedua'



Rosnah Mat Aris akui kesilapan, mohon pertimbangkan semula tindakan gantung setahun daripada muncul dalam program RTM

PERLAHAN suara aktres kontroversi, Rosnah Mat Aris yang kedengaran di corong telefon. Saat dimaklumkan arahan Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dia digantung bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama setahun, suaranya bertambah lemah.

Lantaran keterlanjuran berbicara, banyak pihak menerima kesannya. Program Sensasi diarahkan supaya dihentikan. Dia sendiri menanggung akibatnya iaitu digantung setahun dari muncul dalam sebarang program RTM, bermula Jumaat lalu.

Ketika dihubungi, Rosnah baru saja menyelesaikan penggambaran drama, Dewi Cinta juga untuk siaran RTM di Johor. Hampir kelu lidahnya. Berulang kali dia memohon supaya RTM mempertimbangkan semula keputusan itu.

“Saya tidak mahu menyalahkan pihak lain. Cuma dalam keadaan ini saya seperti menjadi mangsa. Tetapi perkara sudah berlalu. Saya akui suasana di situ panas tetapi saya langsung tidak mempunyai niat untuk menghina isteri Rasulullah,” katanya.

Perjalanan gelap Rosnah mula menyimbah sedikit cahaya apabila RTM mengeluarkan kenyataan sedia mempertimbangkan rayuan Rosnah jika ia dibuat secara rasmi.

“Saya bersyukur jika RTM bersedia memberi peluang untuk saya membuat rayuan. Itu semua adalah kesilapan dan saya sudah memohon maaf. Saya berharap kementerian akan mempermudahkan hal ini,” katanya.

Hip mendapatkan Rosnah untuk berbicara mengenai hal itu.

Hip: Nampaknya masih ada pihak yang tidak menerima permohonan maaf Rosnah?

Rosnah: Janganlah saya terus dihukum. Saya sudah minta maaf sebaik saja selesai siaran langsung Sensasi. Malah, selama lebih seminggu hampir setiap hari menerusi akhbar saya memohon ampun dan maaf atas keterlanjuran saya. Saya perlukan pekerjaan untuk mencari makan dan menanggung keluarga. Saya juga ibu tunggal dan tanggungjawab menanggung keluarga tergalas di bahu ini. Allahuakbar! Jika saya terus digantung, saya nak makan apa?

Hip: Apa yang merisaukan Rosnah?

Rosnah: Saya banyak berlakon drama untuk RTM. Rugilah penerbit jika saya digantung. Habislah mereka kerana bukan sedikit modal yang dikeluarkan untuk menghasilkan sesuatu produksi. Saya sendiri tak tahu nak cakap macam mana. Hukuman ini terlalu berat. Saya tertanya sendiri, mengapa hanya saya seorang yang menjadi mangsa. Sedangkan ada pihak lain yang menjadi penyebab kenapa perkara itu terjadi. Saya memang buat silap tetapi bukan sehingga menjatuhkan maruah sendiri. Perkataan itu terkeluar secara tidak sengaja.

Hip: Bagaimana Rosnah menerima hukuman itu?

Rosnah: Mengapa mereka tidak melihatnya dari awal? Saya tahu saya buat silap. Sebab itu habis saja siaran pada 30 Januari itu saya terus meminta maaf. Esoknya sudah keluar. Selama 10 hari itu juga saya memohon maaf. Kenapa mereka tidak lihat semua itu? Saya bersungguh-sungguh memohan ampun. Saya buang ego dan saya juga bukan manusia yang keras kepala hingga enggan melakukan kesilapan sendiri. Sepatutnya mereka menerima keikhlasan permohonan maaf saya. Bila mereka menutup periuk nasi saya ia bukan untuk mencari jalan penyelesaian. Sebaliknya ia menimbulkan masalah lain.

Hip: Ada melihat hukuman itu sebagai pengajaran supaya artis lain lebih berhati-hati apabila memberi kenyataan?

Rosnah: Saya sudah minta maaf dengan ikhlas, kenapa tidak terima? Saya memohon maaf dengan jujur, soal bertaubat bukan boleh dibuat main. Sedangkan Nabi ampunkan umatnya tetapi mengapa manusia sanggup menghukum saya begini? Saya tidak tahu nak kata apa lagi. Allah saja yang tahu apa yang ada dalam hati saya.

Hip: RTM berkata mereka sedia mempertimbangkan rayuan Rosnah?

Rosnah: Saya bersyukur jika diberi peluang untuk membuat rayuan. Saya juga bersedia melakukan apa saja. Jika saya terus digam, apa yang saya boleh lakukan? Lainlah jika saya ada perniagaan atau sumber pendapatan lain. Tetapi kerja saya hanya berlakon. Saya tidak ada kerja lain. Ada juga orang lain yang berbuat kesilapan besar tetapi kenapa mereka tidak dihukum? Saya bukan menyalahkan orang lain. Saya hanya tersalah pilih perkataan. Saya tak bermaksud untuk menghina isteri Rasulullah. Mungkin kerana pertuturan kita tidak mempunyai titik, koma maka apa yang terkeluar itu dilihat mempersenda isteri Rasulullah. Siapa saya untuk menghina seseorang yang sangat mulia di sisi Allah? Saya ini umpama timun, dibawa ke manapun akan tetap menjadi mangsa.

Hip: Rosnah menyesal keluar dalam program itu?

Rosnah: Untuk apa menyalahkan orang lain? Menyesal memang menyesal, apatah lagi dikecam dan dihukum begini. Tetapi saya ke sana atas jemputan, bukan saya yang minta. Saya datang dengan pintu yang terbuka. Tetapi kenapa apabila dikenakan tindakan, saya yang dihukum? Orang tak tahu pergolakan dalam diri saya ketika itu. Tetapi benda sudah berlaku, saya tidak boleh tarik balik. Cuma saya memohon diberi peluang kedua dan diampunkan atas kesilapan itu.

Hip: Apa tindakan Rosnah untuk menyelesaikan masalah ini?

Rosnah: Alhamdulillah, saya tidak keseorangan apabila ditimpa dugaan. Ada beberapa pihak yang prihatin dan cuba menyelesaikan masalah ini. Saya sendiri tidak akan berdiam diri. Sudah berpuluh tahun saya berlakon, ini mata pencarian utama saya. Saya harap mereka mempertimbangkan segera rayuan yang akan dibuat ini. Janganlah saya dizalimi kerana saya perlu keluar untuk mencari rezeki. Jika digantung bagaimana saya mahu berlakon? Tentu ada produser yang tidak sanggup menanggung kerugian kerana saya seorang.

Hip: Apa yang Rosnah harapkan?

Rosnah: Janganlah melulu buat keputusan. Saya tahu pihak berkenaan hanya menjalankan tugas. Saya tidak salahkan mereka untuk menghukum saya. Cuma saya harap mereka pertimbangkan kenapa jadi begitu. Saya tersalah pilih perkataan, tiada niat pun untuk menghina. Saya tidak mahu hidup dalam kesesatan. Saya cuma mempertikai kenapa perlu ada pihak yang menghina janda tua berkawan dengan orang muda? Salahkah kami?

Hip: Ada minta tolong persatuan?

Rosnah: Saya bimbang juga nanti dikata meminta sedekah. Saya tak mahu perkara ini menjadi besar lagi. Cuma saya ingin memberitahu saya bukan orang yang sombong yang tidak meminta maaf dari awal lagi. Saya tahu saya buat silap, kenapa mereka tidak menerima? Jika saya tidak menyesal saya tidak akan meminta maaf. Tetapi selama lebih seminggu saya berulang kali menyatakan kekesalan. Saya pun tidak mahu jadi begini. Berilah saya peluang. Jika saya mengulangi lagi kesilapan itu, hukumlah saya. Suasana di situ membuatkan saya jadi panas tetapi tulusnya saya tiada niat untuk menghina.

Bro Rick Says.....
Bila da terhantuk, baru nak terngada....

No comments: