Friday, March 30, 2007

Badan langsing walaupun sudah beranak ramai

Wanita patut elak amal tabiat makan terlalu banyak selepas lahir anak

TIDAK dinafikan kegemukan dan ‘lari bentuk tubuh’ antara rungutan yang sering benar diutarakan wanita selepas bersalin. Kumpulan lemak pada bahagian ‘degil’, khususnya di perut dan paha terlalu sukar untuk disingkirkan. Kata sumbang seperti ‘Perempuan kalau sudah bersalin macam itulah’ tetapi adakah itu bayaran bagi wanita yang berkorban nyawa untuk melalui proses kelahiran?

Ketua Unit Pengurusan Pemakanan dan Reproduktif Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kamarul Faridah Kamarul Zaman, berkata tidak dinafikan bahawa pertambahan berat dan perubahan bentuk badan daripada ramping kepada gempal, banyak dikaitkan dengan proses kehamilan.

Keadaan demikian dikaitkan dengan tabiat pemakanan ketika kehamilan, yang sering diusik sebagai sebagai ‘makan untuk dua orang’ terbawa-bawa sehingga selepas melahirkan, menjadikan lemak yang seharusnya disingkirkan sebelum itu tidak mampu dihapuskan.

“Kegemukan ditakrifkan sebagai melebihi berat badan unggul akibat pengumpulan lemak berlebihan dalam satu jangka masa tertentu. Kegemukan tidak berlaku sekelip mata, justeru penurunan berat badan juga tidak boleh dilakukan dalam tempoh singkat.

“Antara sebabnya ialah faktor fisiologi kejadian wanita itu sendiri yang ada lebih banyak kandungan lemak daripada lelaki. Malah, kebanyakan wanita mempunyai selera baik ketika mengandung, malangnya selera ini diteruskan walaupun selepas kelahiran anak pertama,” katanya ketika ditemui pada Seminar Sindrom 3 G - Gebu, Gempal dan Gemuk anjuran LPPKN, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, ketika hamil wanita memerlukan lemak bagi menampung kandungan, tetapi selepas bersalin, seharusnya tabiat pemakanan dikawal, dan lebih banyak melakukan senaman ringan untuk membakar semula lemak yang berkumpul di tempat tertentu.

“Kawal makan bukan bererti tidak makan nasi langsung, sebaliknya makan berdasarkan piramid makanan seperti kurangkan yang berlemak dan berminyak, sebaliknya lebihkan pengambilan serat dan air kerana seseorang wanita yang menyusukan bayi memerlukan khasiat seimbang untuk penghasilan susu.

“Tubuh yang cantik seperti sebelum ketika anak dara dulu, bukan saja meningkatkan harga diri kita sendiri sebaliknya juga memastikan tubuh kembali cergas dan ringan untuk melakukan tugasan harian selepas bergelar ibu,” katanya.

Setiap wanita tidak semestinya melihat langsing selepas bersalin sebagai faktor kecantikan semata-mata, sebaliknya untuk kesihatan dan seharusnya ditanamkan sejak muda lagi kerana apabila memasuki umur 40-an dan 50-an, usaha menurunkan berat badan lebih sukar.

Beliau berkata, bagi wanita yang sememangnya ada masalah berat badan berlebihan, mereka perlu lebih berjaga-jaga apabila usia mencecah 40 tahun kerana ketika itu pelbagai masalah kesihatan mudah bersarang jika tabiat pemakanan dan gaya hidup lama diteruskan.

“Realitinya kegemukan terjadi apabila tiada keseimbangan antara kemasukan (pengambilan makanan) dengan penggunaan tenaga. Tenaga berlebihan disimpan sebagai lemak dalam badan dan untuk kurus, seseorang itu perlu melebihkan penggunaan tenaga (melalui aktiviti fizikal) dan mengurangkan pengambilan makanan,” katanya.

Faridah berkata, keburukan kegemukan apabila ia memberi kesan negatif kepada mental dan psikologi kepada seseorang seperti mudah tersinggung, murung, gelisah, cemas dan malu bergaul dengan orang lain menjadikan usaha mengurangkan berat badan dengan bersenam umpamanya, terhalang sehingga menyebabkan masalah kegemukan makin sukar diatasi.

“Seseorang yang ingin mengurangkan berat badan, beberapa langkah perlu dilakukan seperti menetapkan matlamat, makan secara sihat, berkhasiat dan rendah lemak, meningkatkan aktiviti fizikal selain membiasakan diri dengan cara hidup sihat dan aktif.

“Cara paling mudah ambil baju yang kita muat ketika zaman gadis dulu, gantung atau pakai selalu. Tekadkan dalam diri, aku akan pakai semula baju ini dan ia pasti berlaku,” katanya.

Sementara itu, Norhezan Mohd Noh yang memiliki 10 cahaya mata berusia antara 21 hingga enam bulan itu berkata, beliau berjaya mengekalkan berat badan ideal mungkin disebabkan tabiatnya yang mengamal kaedah ‘berpantang’ selama 44 hari seperti diamalkan kebanyakan wanita Melayu, selain turut menyusukan bayi.

Wanita berusia 40 tahun itu berkata, cara berkenaan mempercepatkan dirinya kembali kepada bentuk badan asal, walaupun tidak 100 peratus.

“Pada pandangan saya, wanita selepas melahirkan anak perlu mengikut cara berpantang seperti memakai bengkung, berpilis dan berurut. Rasional di sebalik ‘berpantang’ ialah wanita ‘mengikat’ tabiat makan yang mana selalunya terikut-ikut dengan cara makan ketika mengandung dulu.

“Ketika mengandung memang boleh makan apa saja, tetapi ketika berpantang, banyak yang perlu kita kawal, semuanya demi kesihatan dan kecantikan ibu itu sendiri. Sekiranya kita terlalu gemuk, dikhuatiri tidak mampu bergerak pantas, untuk menguruskan anak,” katanya ketika ditemui, baru baru ini.

Katanya, bukan hanya wanita sebaliknya semua orang seharusnya menitikberatkan bentuk badan, walaupun mustahil seperti peragawati, tetapi sekurang-kurangnya cantik pada pandangan mata kerana ia lebih kepada harga diri, kepuasan dan idola kepada anaknya kelak.

FAKTA: Kegemukan

Malaysia menduduki tempat kedua dalam senarai rakyat tergemuk di Asia Tenggara, dan jumlah wanita gemuk jauh lebih tinggi berbanding lelaki.

Kesukaran mengurangkan berat badan antara lain disebabkan ‘kecintaan' terhadap makanan

Antara punca ialah menjadikan makanan sebagai ‘ubat penenang' setiap kali susah hati selain tabiat gemar mengunyah sejak kecil, ketika melakukan pelbagai perkara termasuk menonton.

>Cara mengira tubuh ideal

BENTUK tubuh ramping bagaikan peragawati itukah yang dikatakan cantik menawan? Walaupun istilah ramping itu subjektif kerana ada yang mempunyai rangka besar dan kecil, tetapi ada ukuran tertentu digunakan untuk menentukan sama ada seseorang itu sudah berada dalam bentuk badan yang ideal atau sebaliknya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan Indeks Jisim Badan (BMI) sebanyak 22 sebagai berat badan unggul (tetapi 23 juga diterima). Ia bukan saja boleh menjadi pengukur kepada keseimbangan berat badan, sebaliknya menjadi penanda aras bagi kekerapan untuk tekanan darah tinggi.

Ini kerana kajian menunjukkan hampir 50 peratus individu yang mengalami masalah tekanan darah tinggi mempunyai BMI melebihi 30. Ada juga individu yang hanya gemar menimbang berat. badan tetapi adakah ia tepat kerana selalu berubah andai ditimbang pada waktu berbeza?

Realitinya penurunan timbangan berat badan yang tidak memudaratkan fungsi tubuh ialah dua hingga empat kilogram setiap bulan saja, Antara panduan yang diberikan untuk menimbang berat badan ialah menimbang menggunakan penimbang yang sama selain kiraan diambil pada waktu sama setiap kali yang mana paling baik ialah seminggu sekali saja.

Sungguh pun begitu, walaupun kiraan timbangan paling asas dijadikan panduan, nisbah ukuran pinggang dan punggung (WHR) adalah paling tepat menentukan bentuk tubuh paling ideal. Panduan berikut boleh digunakan sama ada lelaki atau wanita, untuk mengetahui di mana tahap anda.

INFO : Indeks Jisim Badan

Ukuran BMI

Cara kiraan BMI ialah membahagikan berat badan dengan ketinggian (dalam meter) ganda dua atau:

Berat (kilogram)/[Tinggi (meter) x tinggi (meter)]

Untuk lebih tepat, anda boleh mengira sendiri berat badan yang unggul mengikut ketinggian masing-masing. Caranya ialah:

23 x tinggi (meter) x tinggi (meter)

Contoh : Sekiranya ketinggian anda 1.5 meter maka :

Cara kiraannya ialah: 23 x 1.5 x 1.5 = 52.

Ini bermakna bagi individu yang mempunyai ketinggian 1.5 meter, berat badan unggul ialah 52 kilogram.

Mengukur ukur lilit pinggang. Ukur lilit pinggang bagi wanita mestilah tidak melebihi 80 sentimeter (32 inci) dan lelaki pula antara 88 hingga 94 sentimeter (36 hingga 40 inci).

Nisbah ukuran pinggang dan punggung (WHR) adalah kaedah penentu untuk mengetahui bentuk badan baik dan ideal bagi setiap orang. Caranya ialah membahagikan ukuran pinggang dengan punggung yang mana bagi wanita, ukurannya mestilah tidak melebihi 0.8 dan 1.0 bagi lelaki. Sekiranya nisbah WHR melebihi tahap ditentukan di atas, bermakna bentuk badan kurang cantik walaupun BMI anda dalam lingkungan normal.

>Panduan berpantang

BERPANTANG yang diamalkan dalam masyarakat Melayu, Cina dan India lebih kurang sama kerana tumpuan lebih kepada aspek pemakanan. Makanan yang sejuk seperti sayur-sayuran tertentu sepatutnya dikurangkan kerana ia boleh menyebabkan badan berasa sejuk, lantas menyebabkan tubuh menjadi ‘tidak kuat’ pada waktu tua.

Selain menitik beratkan aspek pemakanan ada juga cara berpantang yang melarang mandi dan menyikat rambut atas alasan melindungi ibu dan bayi daripada kecelakaan. Ada banyak lagi amalan yang ‘diharamkan’ dilakukan ketika berpantang, tetapi sejak kebelakangan ini dipandang sepi masyarakat moden.

Sungguhpun begitu secara ringkasnya berpantang bertujuan merehatkan tubuh badan dan memberikan kembali tenaga dan darah yang banyak hilang akibat proses kelahiran. Umumnya berpantang ini hanya membabitkan 44 hari atau sebulan lebih.

Cara berpantang masyarakat Melayu:

Urutan - bertujuan melancarkan peredaran darah dan biasa dimulakan tiga hari selepas kelahiran. Ia tidak boleh dielakkan kerana akan menyebabkan tubuh berasa sengal.

Bertungku - bertujuan mengeluarkan darah kotor terutama saki baki darah beku, membuang angin dan menyembuhkan luka peranakan selain mengecutkan urat yang kembang. Ia selalu dilakukan pagi dan petang.

Bertangas - bertujuan membuang angin meroyan, mengecutkan vagina, menyihatkan sistem peranakan, membetulkan kedudukan salut peranakan dan mengecutkan rahim.

Berbengkung - perlu dilakukan sepanjang tempoh berpantang. Elakkan perut buncit selain berfungsi mengembalikan kedudukan peranakan. Ia juga dikatakan sebagai alat membantu ‘mendapatkan’ kembali tubuh langsing kerana ia menghalang daripada makan banyak.

Mandi rempah ratus - bertujuan membuang angin dalam badan selain menghaluskan kulit. Ia juga dikatakan mampu mengekalkan kesegaran dan naik seri wajah.

Memakai param dan pilis - bertujuan mengelakkan pening dan menyebabkan mata rabun.

Minum jamu - bertujuan memanaskan badan, mempercepatkan rahim mengecut selain merapatkan kembali bahagian sulit.

Elakkan:

Keluar rumah

Membuat pergerakan pantas atau lasak dengan kata lain kurangkan berjalan

Makan dan minum berlebihan

Membaca dan melaksanakan kerja yang memerlukan tumpuan seperti menjahit

Terdedah kepada cuaca sejuk

Bro Rick Says....
Suka melihat org dulu2 dalam masa pantang selpas bersalin, bermacam pantang larang, seperti bertungku, pakai bekong, berasap, dan bermacam2 lagi la...dulu masa sekolah, ada la buat kajian tentang pantang larang org bersalin cara dulu2..tahu la serba sedikit..bagus tau kalau tahu...boleh jadi bidan...bidan terjun...hehehee

No comments: