Tuesday, April 17, 2007

Yin ditemui selamat



Pasangan Myanmar bawa pulang Nazrin ketika cuba lintas jalan dekat Sogo

KUALA LUMPUR: Lagu Twinkle Twinkle Little Star yang dinyanyikan Muhammad Nazrin atau Yin, 4, melalui telefon kepada ayahnya, Shamsul Ghazali Shamsuddin, 35, cukup membuat si ayah sebak dan mengesahkan suara itu adalah suara anaknya.

Malah, lagu itu juga simbolik kepada penemuan kanak-kanak berkenaan yang hilang sejak dua minggu lalu ketika mengikut ibu bapanya membeli-belah di Kompleks Sogo, di sini, pada 31 Mac lalu.

Shamsul Ghazali berkata, mulanya dia tidak percaya apabila bekas rakan sekuliahnya, Baharuddin Hassan memberitahu Yin sudah ditemui semalam, kecuali selepas mendengar sendiri suara anak sulungnya itu melalui telefon.

“Saya balik kampung di Ipoh pagi tadi (semalam). Kira-kira jam 2 petang, seorang rakan telefon dan beritahu Yin sudah ditemui. Saya hanya percaya berita itu selepas bercakap sendiri dengannya dan mendengarnya menyanyikan lagu itu.

“Apa lagi, saya mula rasa sebak sebab memang sah itu suara Yin. Lagu Twinkle Twinkle Little Star itu pun antara lagu kegemarannya. Saya tahu sebab saya dan isteri nyanyikan lagu itu padanya,” katanya.

Sebaik menerima berita gembira itu, beliau sekeluarga bergegas pulang ke ibu negara dan buat kali pertama menemui Yin di rumah rakannya itu di Taman Setiawangsa, kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, berkata Yin ditemui pasangan suami isteri warga Myanmar, Mohd Abd Rahman Doli Rahman, 31, dan Noorshida Nur Islam, 27, di luar kompleks beli-belah itu.

Mereka membawa Yin pulang ke rumah mereka di Sentul Pasar selepas melihat kanak-kanak itu cuba melintas jalan yang sibuk ketika itu dan bimbang dengan keselamatannya.

“Sebenarnya, mereka tidak tahu Yin hilang sehinggalah Noorshida pergi ke pasar Jalan Masjid India petang tadi dan terjumpa rakan Shamsul sedang mengedar poster Yin. Dari situlah bermulanya detik penemuan semula Yin,” katanya.

Musa menafikan polis menahan pasangan suami isteri itu, sebaliknya mereka secara sukarela menyerahkan Yin kepada rakan bapanya, seterusnya ke IPD Dang Wangi untuk memaklumkan penemuan berkenaan.







Beliau juga mengumumkan kes kehilangan kanak-kanak itu ditutup sebaik saja Yin diserahkan kepada keluarganya.

“Yin sudah ditemui dan dikembalikan kepada ibu bapanya. Dia dalam keadaan sihat, namun kita akan tetap menghantarnya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

“Kita mendapati tiada unsur jenayah di sebalik kehilangan Yin. Ini memang kes orang hilang dan tidak ada kena mengena dengan perbuatan jenayah. Syukurlah, kes ini sudah selesai,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee dan Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner I Zulhasnan Najib Baharuddin.

“Kita sudah rekod kenyataan dari ibu bapa Yin dan pasangan suami isteri yang menemuinya sebagai mengikut prosedur. Kita tidak tahan pasangan suami isteri itu, mereka sukarela datang sini.

“Yang penting sekarang, kita sudah jumpa Yin... keadaan baik dan ceria. Justeru, secara rasminya kes ini sudah ditutup,” katanya.

Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada pasangan suami isteri yang menemui Yin kerana menjaga kanak-kanak itu dengan baik sepanjang tempoh kehilangannya.

“Kita turut menghargai keprihatinan orang ramai, termasuk pihak media terhadap kehilangan Yin, sekali gus menyaksikan pelbagai usaha dijalankan di seluruh negara untuk mengesan kanak-kanak itu,” katanya.

Ditanya mengenai ganjaran berjumlah RM23,000 bagi sesiapa yang berjaya menemui Yin, beliau menyerahkan kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Zakaria untuk menguruskannya.

Bro Rick Says....
Bersyukur kepada tuhan, terima kasih kepada nya, kerana membawa pulang Yin kepangkuan keluarga nya, ini semua berkat kerjasama semua pihak dan doa mereka semua...
Di harap perkara ini menjadi Ikhtibar kepada semua rakyat Malaysia..

No comments: