Monday, April 16, 2007

Gempar bom di Jambatan Pulau Pinang



GEORGETOWN: Berpuluh ribu kenderaan terperangkap beberapa jam di kedua-dua arah laluan ke Jambatan Pulau Pinang selepas jambatan itu ditutup berikutan ancaman panggilan bom, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid, berkata jambatan itu ditutup mulai jam 5 petang bagi memudahkan polis menjalankan pemeriksaan, selain mengambil kira faktor keselamatan orang ramai.



Laluan ke Butterworth ditutup pada jam 5 petang, manakala ke bahagian pulau mulai jam 5.25 petang.

Difahamkan, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Utiliti dan Pengangkutan negeri, Datuk Koay Kar Huah, menerima panggilan mengenai ancaman bom itu pada jam 4 petang dan terus menghubungi polis.

Berikutan itu, sepasukan anggota polis trafik, kereta peronda, Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Polis Marin dikerah menutup dan memeriksa jambatan berkenaan dengan bantuan Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB).

Hasil pemeriksaan itu, polis menemui batang paip besi sepanjang 15 sentimeter yang bergaris pusat lima sentimeter di pembahagi jalan menghala ke Seberang Prai di Kilometer 3.8 Jambatan Pulau Pinang, pada jam 5.40 petang.

Pada sidang media di Pangkalan Polis Marin Wilayah Utara di sini, malam tadi, Azam berkata, batang paip itu diletupkan UPB kira-kira jam 6.40 petang tetapi polis masih menyiasat kandungannya.

Kejadian itu menyebabkan kenderaan terperangkap dalam kesesakan sejauh kira-kira 30 kilometer dari persimpangan Plaza Tol Jawi di Lebuhraya Utara Selatan menuju jambatan, manakala kenderaan dari arah utara tersangkut lebih 10 kilometer sehingga Plaza Tol Sungai Dua.

Beberapa laluan di bahagian pulau termasuk Lebuhraya Jelutong dan Lebuhraya Bayan Lepas turut mengalami kesesakan teruk kerana penutupan itu berlaku ketika waktu puncak.

Laluan menuju pangkalan feri di bahagian pulau dan Butterworth juga sesak apabila pemandu cuba mengelak menggunakan jambatan.

Jambatan sepanjang 13.5 kilometer itu hanya dibuka semula pada jam 7 malam selepas polis mengesahkannya selamat. Ini adalah kali pertama jambatan yang mula digunakan pada 1985 ditutup berikutan panggilan ancaman bom.

> KRONOLOGI:
· Panggilan mengenai ancaman bom di Jambatan Pulau Pinang diterima pada jam 4 petang.
· Jambatan ditutup jam 5 petang bagi memudahkan polis menjalankan pemeriksaan.
· Batang paip besi sepanjang 15 sentimeter yang bergaris pusat lima sentimeter dijumpai di pembahagi jalan menghala ke Seberang Prai di Kilometer 3.8 Jambatan Pulau Pinang, pada jam 5.40 petang.
· Batang paip diletupkan UPB kira-kira jam 6.40 petang
· Jambatan dibuka semula pada jam 7 malam

Bro Rick Says....
Malaysia pun x terlepas dari Bom ke???? ingatkan serbuk pencuci Boom jer....hehehee

No comments: