( Clip Video yg disiarkan di Youtube )
Mengaibkan!
Oleh ZAINUDDIN ZAIN, RUDY SYAREME SYARIFFUDIN dan ZULIATY ZULKIFFLI
Satu penganiayaan: Hanya ketua unit penguat kuasa dibenarkan memegang kamera video, selain ada prosedur rakaman bukti yang ketat ketika di lokasi operasi
KUALA LUMPUR: Aib dan mengundang pelbagai persoalan. Itulah kenyataan paling sesuai apabila satu rakaman klip video mengenai operasi mencegah maksiat kini tersebar luas melalui internet.
Klip sepanjang 1 minit 16 saat itu dianggap mengaibkan kerana dipercayai tidak mengikut prosedur apabila seorang wanita yang ditahan tidak diberi peluang mengenakan semula pakaiannya, menyebabkan dia terpaksa menutup tubuh hanya dengan sehelai tuala kecil.
Persoalan yang timbul daripada klip itu ialah, adakah begitu caranya operasi mencegah maksiat dilakukan (dengan tertuduh dimalukan), dan bagaimana rakaman itu boleh disalahgunakan hingga tersebar di internet?
Atau adakah penyebaran klip itu bertujuan memburukkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia dipaparkan dengan judul: “Awek Melayu Bogel Ditangkap Oleh Pasukan D7 PDRM: Rakaman Untuk Bukti?@ Wayang Free!”
Bagaimanapun, Metro Ahad percaya operasi dalam klip itu tidak dilakukan polis, sebaliknya oleh agensi penguat kuasa lain berdasarkan tulisan pada belakang vest yang dipakai seorang lelaki yang terbabit dalam operasi.
Turut ada di dalam klip itu ialah seorang lagi lelaki dan wanita bertudung yang berpakaian awam.
Mengulas penyebaran klip itu, Ketua Unit Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp), Faizal Ibrahim, berkata dalam setiap operasi, rakaman bahan bukti yang kukuh cukup penting supaya kes tidak dianggap longgar dan pesalah terlepas daripada pendakwaan.
“Saya tidak melihat klip itu. Ada kemungkinan ia rakaman sebenar operasi mencegah maksiat kerana memang di dalam operasi Jaipp, kita mengambil gambar dan kadangkala rakaman video.
“Namun, hanya saya sebagai ketua unit dibenarkan memegang kamera video dan kami ada prosedur rakaman bukti yang ketat ketika di lokasi operasi dan juga sekembali ke pejabat,” katanya kepada Metro Ahad.
Sehubungan itu, kata Faizal, jika pihaknya mendapati rakaman video itu membabitkan Jaipp, laporan polis perlu dibuat untuk memastikan sama ada ia benar-benar penguat kuasa jabatan itu atau penyamaran.
“Kalau benar operasi Jaipp sekalipun, kita tidak boleh terus menuding jari perbuatan orang dalam, sebaliknya siasatan menyeluruh perlu dijalankan kerana bimbang ia angkara orang luar.
“Ini kerana operasi Jaipp juga diikuti wartawan, termasuk dari stesen televisyen, selain pemberi maklumat yang mungkin merakamnya secara curi.
“Malah, selepas mahkamah menjatuhi hukuman, bahan bukti dilupuskan dan semua aspek ini perlu diambil kira kerana ada kemungkinan (yang membolehkan rakaman) jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Klip itu menunjukkan seorang wanita berusia awal 20-an dalam keadaan bogel di atas katil dan hanya menutup sebahagian badannya dengan tuala kecil. Berdasarkan keadaan hotel dan tuala digunakan, operasi dipercayai dijalankan di hotel murah.
Wanita itu kemudian diarah berpindah dari sudut kiri katil ke kanan. Ketika itu, seorang lelaki memeriksa katil dan mengambil seluar dalam serta coli untuk diletakkan di sebelah wanita itu bagi rakaman.
Faizal berkata, dalam setiap operasi, hanya seorang pegawai penguat kuasa yang terlatih dalam penggunaan kamera diberi tanggungjawab mengambil gambar untuk dilampirkan sebagai satu bukti kes.
“Setiap gambar diambil perlu disertakan negatif filem atau kad memori pada kamera digital untuk diserahkan kepada mahkamah sebagai bukti gambar itu diambil pada masa dan tempat tertentu. Begitu juga rakaman video.
“Setiap gambar diambil dikategorikan sebagai sulit dan tidak boleh diberikan kepada orang lain tanpa kebenaran,” katanya.
Faizal berkata, jika berlaku penyalahgunaan gambar diambil, satu siasatan dilakukan secara terperinci dan mana-mana pegawai yang bersalah dikenakan tindakan disiplin.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Abdul Samah Mat, ketika mengulas penyebaran klip itu di internet, berkata masyarakat yang ada maklumat mengenai sebarang salah laku anggota atau pegawai penguat kuasa perlu membuat laporan supaya tindakan tegas diambil.
Katanya, mana-mana pihak yang berasa dianiaya atau difitnah pihak tertentu juga perlu membuat laporan polis bagi membolehkan kebenaran ditegakkan.
“Anggota polis yang melakukan tugasan cegah jenayah ada tanggungjawab tersendiri. Mereka tahu tanggungjawab dan kaedah mengumpul bukti.
“Setiap bahan bukti dikumpul adalah penting untuk menentukan sama ada suspek bersalah atau tidak, dan perkara itu cukup serius dan memerlukan penelitian,” katanya.
Abdul Samah berkata, ketika bertugas, anggota polis tidak lari daripada etika tugas dan mereka tahu sebarang penyalahgunaan kuasa akan mengakibatkan kesan serius kepada masa depan dan karier mereka.
“Saya berpuas hati dengan tugasan anggota dan pegawai kami di Pulau Pinang. Mereka tahu tanggungjawab mereka dan saya berharap mereka tidak terbabit dalam kegiatan yang boleh mencemarkan imej pasukan,” katanya.
Penyebaran klip operasi cegah maksiat yang disebarkan di internet itu kali kedua berlaku kerana November tahun lalu satu laman web dikesan menyediakan koleksi 92 klip video ‘Koleksi Tangkap Basah’ yang didakwa sebagai operasi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil, menafikan klip itu diperoleh daripada Jais kerana jabatan itu tidak pernah merakam kejadian tangkap basah sepanjang menjalankan operasi cegah maksiat.
“Itu (klip video) semua bohong, Jais tidak pernah merakam operasi cegah maksiat,” katanya.
Bro Rick Says....
Sungguh memalukan jika apa yg disiarkan ini benar2 berlaku, saya sendiri tidak menyangka video ini tersebar luas, hingga disiarkan di surat khabar, yg pelik nya bagaimana video ini boleh dirakam, dan disebarkan di internet, sedangkan jaim telah mengaku bahawa, tiada rakaman dibuat semasa operasi mencegah maksiat...bagaimana dan siapa dalang nya????
No comments:
Post a Comment